Menyerah Diri Mencari Sinar

Bismillah. Alhamdulillah.

Saya ingin menulis sesuatu tentang ISLAM hari ini. Sebelum itu, mari kita membaca dan mengandaikan beberapa situasi dibawah sebelum saya panjangkan catatan ini.

Situasi Pertama

Meredah laluan berlekok waktu malam di Kuala Berang dari bandar Permaisuri memang menjerihkan. Jalan yang tak sekata, gelap dan diselubungi ladang kepala sawit. Hampir dua puluh minit pemanduan, kereta meragam. Terhenti. Lampu dan penghawa dingin kereta padam. Engine belt putus. Gerimis membasahi jalan. Lama kelamaan lebat. Jam menjangkau 0200 pagi. Tiada kereta mahupun kenderaan yang berlalu untuk meminta bantuan. Tiada binaan rumah ataupun kawasan habitasi manusia disekitar. Arrghhh, apa yang harus di buat?   

Situasi Kedua

Bahang matahari mula mencucuk tubuh. Panas dan berpeluh. Berat untuk ke bilik air dan mandi. Anak-anak jiran terpekik-pekik main tuju tin depan rumah. Bingit. Ikutkan hati, mahu ditampar kesemuanya. Bekalan air pula terputus. Terus mencapai alat kawalan jauh televisyen. Kartun, kartun dan kartun. Nak tidur semula, sakit kepala. Nak keluar rumah, masih belum mandi. Nak makan, tiada stok makanan. Bosanlah! Semuanya serba tak kena. Jiwa kosong!

Situasi Ketiga

Vila berdinding kaca atas Bukit Tinggi itu dulu memang megah dan cantik. Serinya memancar. Tak berkelip mata orang melintasi lereng bukit itu kerana melihat kehalusan seni reka dan kombinasi warna yang sungguh memukau. Kini, ia pudar. Tenggelam dengan mabuk dunia dan lekit dosa. Anak-anak Dato’ Y bergelumang dengan rutin yang merenyahkan. Pemergian ayahanda sedikit pun tidak terbias iman pada kesemua anak-anaknya. Sudah tiada lagi haruman vila, tapi hanyir duka.Semua situasi itu mungkin benar dan pernah berlaku. 

Dalam Situasi Pertama, mangsa sangat-sangat mengharapkan bantuan. Tak sanggup bergelap gelita di kawasan kelapa sawit yang sunyi. Rasa takut dan bimbang bercampur baur. Dalam hati, jika ada seorang insan yang berjiwa mulia yang lalu, pasti dia akan membantu. 

Situasi Kedua pula menunjukkan hati yang tak tenang. Awal pagi hari sudah bad mood. Hati ingin memberontak tapi tak tahu ingin luahkan pada siapa. Ingin menjerit tapi untuk apa. 

Situasi Ketiga menggambarkan sesuatu yang indah telah buruk dan kotor. Dulunya dipuji dan dipuja. Tapi, akhirnya dikeji dan dinista. Ia sudah hilang nilai.  Sesuatu mesti dilakukan untuk memperelokkannya kembali.

Islam itu penyelamat dan penuntun hidup ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat. Islam itu mendorong manusia menyerah sepenuhnya kepada acuan dan aturan Allah. Setiap detik dan inci tindakannya semuanya ditujukan untuk Allah SWT. Ketundukan hati dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi pada peraturan yang ditetapkan Allah semata-mata. 

Tatkala hidup terumbang ambing dan tanpa pedoman, Islam hadir untuk memimpin diri menuju sinar yang bahagia. Kesempitan hidup, tekanan perasaan, gelap masa depan, dan luluh mengenang zaman yang hitam semuanya pasti terubat dengan perskripsi Islam. Cantiknya Islam memandu hidup manusia. 

Firman Allah SWT, 

Dan barangsiapa yang telah menyerah dirinya (Islam) kepada Allah dan dia berbuat baik (demikian), maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang kukuh dan hanya kepada Allah kesudahan segala urusan” (Surah Luqman : 22) 

Hati yang kosong dan tidak bermatlamat hanya akan menjadi seperti orang gila yang berjalan tanpa sepatu dan bermonolog. Dirinya hanya dipandu oleh nafsu, syaitan dan manusia yang bermuka-muka. Bukankah Allah menjadikan bumi seperti hamparan untuk kita mengembara seluruh pelusuk dunia dan menikmati segala rezeki yang diberikan olehNya? Tapi ingat, sejauhmana pun kita berjalan dan sepenuh mana pun nikmat yang dikaut, akhirannya adalah dihadapan Allah Azza wa Jalla (Surah Al-Mulk : 14). 

Firman Allah SWT,

Allah mencipta manusia dari permulaan, kemudian mengembalikannya (menghidupkannya) kembali, kemudian kepadaNya kamu semua akan kembali(Ar-Ruum : 11)

Kehidupan dunia boleh diukur dengan kemunculan nabi-nabi Allah. Semua nabi hidup bagi zamannya dan membawa Syari’at sepertimana keperluan umat dan masa. Berbahagialah mereka yang hidup berpedomankan ajaran hanif yang dibawa nabi-nabi dan celakalah bagi yang sebaliknya. Diutuskan Muhammad SAW untuk membimbing manusia yang telah jauh daripada ajaran agama hanif yang sebenar. Ketiadaan Nabi Isa AS dan jarak senggang yang lama membuatkan hamba-hambaNya leka dan hidup dimurka Allah SWT. Akhirnya, Khatimul Anbiya’ wal Mursalin diangkat sebagai munzir, pendidik, pemimpin, pemberi khabar gembira dan pembawa Nur kepada sejagat. Baginda menegak kembali karamah insan dan membina hadharah Islamiyyah.

Firman Allah SWT,

Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan pada tiap-tiap umat, rasul (untuk menyerukan) menyembah Allah dan menjauhi kesesatan” (An-Nahl : 36

Inilah Islam. Berpegang dengannya akan menyelamatkan kita. Berpegang kepadanya akan membawa kita kehidupan yang penuh dengan bahagia dan kemanisan. Hanya Islam diiktiraf Allah. Jangan diri ini mencari selain Islam kerana kita sendiri akan menuju kebinasaan dan kerugian. Takut nanti, menyesal dihadapan Allah untuk kembali ke dunia berbuat ‘amal pada saat yang tidak boleh dikembalikan. Wa na’uzubillah!  

  

Posted on September 5, 2011, in Artikel. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: