Penangan Nur Kasih, Industri Seni dan Dakwah

Tak sangka cetusan idea pengarah kelahiran Mumbai, Kabir Bhatia telah memberi penangan yang membekas dikalangan pemuda pemudi Melayu Islam di Malaysia. Latar budaya Melayu tradisional dan diselangi dengan latar antarabangsa membangkitkan keterujaan peminat filem ini. Apa tidaknya, drama bersiri Nur Kasih telah berjaya menarik lebih 19 juta penonton di TV3. Luar biasa!

Saya tidak berkesempatan untuk menonton filem Nur Kasih (Nur Kasih The Movie) ini. Apatah lagi, saya memang kurang berminat dengan filem. Namun, setakat pembacaan saya mengenai filem Nur Kasih, saya mengenali secara jauh dan ringkas beberapa insan seni di belakang tabir filem ini.

Sebelum itu, saya ingin bertanya. Bagi pendapat anda, adakah ia filem dakwah atau berunsurkan dakwah?

Ramai orang bersetuju jika dikatakan buah tangan Kabir Bhatia memang unik terutamanya dari aspek sinematografi dan storyline-nya. Malah, ramai juga memuji-muji skrip drama dan filem tersebut yang jelas memberikan mesej-mesej ketimuran dan kebaikan. Baru saya tahu, penulis skrip utama Nur Kasih merupakan isteri Kabir sendiri iaitu Mira Mustaffa. Selain beliau, ada dua orang lagi penulis skrip yang berbakat besar iaitu Maizura Mohd Ederis dan Mariana Hashim.

Karya Puan Maizura Mohd Ederis menarik perhatian saya. Cuba kita baca beberapa penulisan beliau dalam blog tangisanbulanmadu. Puan Maizura dengan jelas dan terang menyebut bahawa drama Nur Kasih bukan cerita dakwah. Maka, saya sarankan untuk membaca penjelasan lanjut dalam blog tersebut. Klik pada label Nur Kasih di sebelah kanan. Beliau memberikan komentar konstruktif mengenai pendiriannya itu. Blog tersebut juga memaparkan fakta-fakta menarik mengenai perkara disebalik drama dan filem Nur Kasih.

Kemudian dari layar kecil, sebuah drama rantaian televisyen, Nur Kasih telah menjengah ke layar perak bulan lalu. Daripada makumat Finas, kos filem Nur Kasih (Nur Kasih The Movie) ialah RM 2.83 juta manakala sehingga 2 Jun 2011, ia telah berjaya mengutip sebanyak RM 4.60 juta daripada 61 buah pawagam.

Kenapa saya menulis artikel ini?

Beberapa minggu lalu sebelum tayangan pertama filem Nur Kasih di pawagam, sebuah stesen radio swasta membuka ruang bicaranya mengenai kisah penangan Nur Kasih. Dalam kata lain, mengapa Nur Kasih digilai ramai sehingga ia mampu memberi kesan kepada penonton. Saya sempat mengambil beberapa points daripada beberapa panggilan telefon dari pendengar stesen radio berkenaan.  

Ada yang kata, disebabkan isterinya betul-betul meminati watak Nur Amina lakonan Tiz Zaqyah, maka mereka telah meletakkan nama ‘Nur Amina’ kepada anaknya. Mereka harap agar anaknya menjadi seorang yang lemah lembut, berakhlak baik, penyabar dan kuat pegangan agamanya.

Kemudian, ada seorang pemanggil lelaki memberi pandangan. Dia kata, sejak drama tersebut dipaparkan di TV3, ramai staf-staf wanita di pejabatnya mula memakai baju kurung dan bertudung seperti watak Nur Amina. Malah, ramai juga yang ingin mencontohi watak baik Aidil yang dilakonkan oleh Fizz Fairuz.

Terakhir sekali, saya mendengar seorang pemanggil wanita yang mengakui tidak lagi berpeleseran setiap Jumaat malam kerana lebih suka menghabiskan masa di rumah untuk menonton drama bersiri tersebut.

Saya agak terkejut dengan beberapa respon segera yang dilontarkan oleh peminat drama itu. Memang luar biasa. Sebuah drama bukan dakwah, tapi mampu sekurang-kurangnya mencuit hati seseorang memilih perkara yang baik daripada sebaliknya. Bukankah ini ‘mengajak kepada kebaikan’?

Saya bukan orang seni. Tapi seni boleh membuat seseorang itu kembali kepada fitrah. Seni juga boleh mengubah watak seseorang itu. Seni itu umpama pisau. Jika pandai menggunakannya, maka banyak faedah yang kita beroleh darinya. Pada zaman Rasulullah SAW, syair-syair Arab dijadikan sebagai ulitan motivasi kepada umat Islam. Ada juga syair-syair tersebut memberikan peringatan kepada manusia. Besar juga peranan seni.

Ketika saya berumur 12 dan 13 tahun, saya hanya mengenali beberapa kumpulan nasyid. Antaranya Nada Murni dan The Zikr. Tetapi, apabila Raihan membuat debut dengan penampilan yang lebih kontemporari, industri nasyid telah menjadi satu fenomena. Ingat tak ketika awal tahun 2000, ramai orang meminati nasyid khususnya dikalangan pelajar universiti? Pada masa itu, kumpulan-kumpulan nasyid anak muda tumbuh bak cendawan. Saya peminat Brothers, Saujana dan Rabbani. Bukan sahaja irama dan lagu nasyid menjadi siulan, bahkan pakaian mereka juga menjadi satu trend dikalangan anak muda. Menakjubkan!

Kebelakangan ini, ramai artis-artis tempatan telah tampil dengan imej yang berbeza. Imej Islamik dan berakhlak. Saya gembira dengan perkembangan ini. Malah, segelintir daripada mereka turut membuat keputusan untuk tidak lagi bergiat dalam industri seni hiburan di Malaysia. Setakat pengetahuan saya, mereka ialah Azmil Mustafa (Ali Setan), Akil Hayy (D’Riyadh), Datin Sarimah, Noor Kumalasari, Lidyawati (Suami, Isteri dan …..), Catriona Bahrin Ross (Sephia), Erma Fatima, Aishah, Nora, Bob Lokman, Ashraf Muslim dan Sham Kamikaze.

Seni merupakan salah satu daripada maudhu’ dakwah. Jika orang biasa seperti saya ingin mengupas dan menyelami seni ini, sudah pasti ia tidak memberi impak besar. Sudah pastinya, pendakwah yang layak untuk bercakap mengenai seni adalah orang seni itu sendiri. Mereka mempunya sasaran dakwah yang dekat dengan mereka. Malah, mereka boleh menggunakan bakat seni mereka sebagai uslub baru dalam menyampaikan dakwah. Hebat.

Bukan sebarangan orang untuk maudhu’ seni ini. Lihat bagaimana Yusuf Islam (Cat Steven) menggunakan segala bakat yang beliau ada untuk menyampaikan mesej Islam melalui seni. Kita sudah mempunyai ramai novelis Islam terkenal, tapi kita masih lagi kekurangan artis-artis yang berhikmah untuk memainkan peranan dalam seni hiburan lakonan dan nyanyian. Fenomena ini yang perlu diberikan perhatian penting!

Posted on June 13, 2011, in Umum. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: