Pengalaman Berharga Dari Kelate Ke KL – 050611

Menjamah Nasi Kerabu dan Nasi Berlauk Pak Mail Kg Padang Embon memang menyelerakan, sambil menghirup kopi mak mertua (Ma). Tak pernah pulang semula ke Kuala Lumpur dengan perut berlapar. Ma pasti menghidangkan sesuatu sebagai santapan. Bagi saya cukup sebagai satu ‘buah tangan’ yang sukar diungkapkan. Jika tidak Nasi Kerabu atau Nasi Berlauk, Ma akan sediakan Nasi Ayam atau Nasi berlauk daging kerutup yang menjadi kegemaran saya.

Tambahlah nasi lagi“, pujuk Ma. “Kenyang dah Ma. Takut mengantuk tengah jalan“. Jawap ringkas. Dalam hati, memang sungguh menyelerakan!

Kebiasaannya, saya akan bertolak pukul 1000 – 1130 pagi dari rumah Ma. Semalam (5 Jun), selepas bersiap-siap dan memasukkan barang-barang ke dalam kereta, saya, isteri dan anak berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Kali ini saya bawa Kenari, kereta abang ipar. Rasa kekok. Barang-barang dibelakang, seperti biasa pasti penuh. Ma akan bekalkan buah, keropok atau apa sahaja untuk kami dan besannya di Kuala Lumpur.

Selepas meniti Jambatan Sultan Ismail Petra, menuju ke Jalan Mulong dan keluar di kawasan Nilam Puri. Cuaca redup. Kereta tak berapa banyak. Saya suka berjalan pada waktu ini. Selesa dan tidak rushing.  Singgah mengisi minyak di Kok Lanas. Kawasan UMNO/Barisan Nasional. Terpacak tinggi dua bendera PAS dan Barisan Nasional di tepi traffic light. Orang Kelate memang minat politik!

Jalan sudah mula perlahan. Berjujut, bak kata orang Kelate. Perlahan hingga ke Machang. Masih lagi perlahan hingga masuk ke kawasan Kuala Krai. Sempat kami sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Shukri yang dikebumikan di tanah perkuburan Pondok Durian. Masih terbayang semangatnya membakar jiwa-jiwa yang malas berusrah. Moga ruhmu tenang dirahmati Allah. Ingatlah, setiap orang akan mati. Rahsia Allah tidak memaklumkan tarikh dan lokasi kematian kita. Moga-moga semuanya husnul khatimah. InsyaAllah.

Dari Kuala Krai menuju ke Gua Musang, semuanya ok walaupun sedikit perlahan. Alhamdulillah. Kami bercadang akan berhenti di Raub untuk tunaikan solat Jama’ dan Qasar Zohor bersama ‘Asar. Untuk alas perut, singgah beli beberapa kilo buah di tepian jalan Merapoh. Buah mata kucing habis beberapa tangkai. Manis dan rangup. Beberapa gerai memenuhi tepian jalan itu. Produknya sama. Buah-buahan. Itu semua rezeki Allah. Ada orang yang berhenti di gerai hadapan. Ada juga di gerai tengah dan hujung sekali. Jika ada rezeki, insyaALLAH akan ada orang bertandang di gerai mereka. Asalkan jangan ada yang busuk hati dan bermain ‘halus’. Ramai yang saya sudah tengok menderita dek kerana hati busuk orang dalam berniaga. Dosa besar hukumnya!

Lalu jalan baru berturap tar memang cukup menyenangkan sebelum mendaki Bukit Tujuh. Sampai pertengahan buit tersebut, kereta perlahan. Semakin perlahan dan terus berhenti. Berpuluh-puluh kertea berhenti. Tidak mengensot-ensot. Berhenti. MasyaAllah. Kenapa? Kira-kira dua puluh minit berlalu. Orang sudah mula turun dan lepak di tepi sambil hisap rokok. Rokok penenang hati kata kawan lama saya. Hampir setengah jam tidak bergerak.

Awan semakin gelap petanda hujun akan turun. Jam sudah pukul 1630 petang. Ada sebuah dua kereta dari arah bertentangan. Saya sempat tahan dan bertanya pada pemandu itu.

“Ada lori terbalik kat depan. Langsung tak boleh jalan. Ada orang kata dah empat, lima jam dah tunggu. Nak tunggu kren pengangkut entah pukul berapa“, keluh abang berkereta Wira Aeroback hitam. Gulp! Empat hingga lima jam? Parah dah ni. Banyak kereta sudah mula u-turn. Bas ekspres pun sama. Saya dan isteri buat keputusan, patah balik. Kami cadang mahu ke Gua Musang dan ikut jalan Cameron Highlands dan turun ke Tapah. Alamak, lagi 67 batu ke Gua Musang. Jalan bertentangan pun sudah mulai jammed. Orang dah mula patah balik dan banyak kereta yang tersadai dan melepak tepi jalan. Saya teringat pesan Abah. Kalau jalan jammed dan kereta perlahan, jangan buka air-cond.

Jam sudah pukul 1740 petang. Hari makin malam. Solat pun belum lagi. Ketika kereta perlahan, ada seorang pakcik berdiri di tengah jalan. Dia sibuk beritahu beberapa buah kereta di hadapan saya. Saya pun buka tingkap dan bertanya.

“Kenapa pakcik?”

“Kalau taknak balik ke Gua Musang, masuk ikut Felda Chegar Perah. Lagi 10 km dari sini. Masuk situ dan boleh tembus ke Koyan dan Kuala Lipis”.

Hati saya sedikit tenang. Alhamdulillah. Baik sungguh pakcik tu.

Sampai di Felda Chegar Perah, saya singgah di kedai D-Mart untuk bertanya arah jalan ke Koyan. Pekedai tu tak berapa tahu. Tapi, sudah banyak kereta masuk berduyun-duyun ke kawasan tu. Terasa meriah pulak rasanya. Saya terus berjalan dan berhenti di sebuah rumah yang ramai orang. Mereka tersenyum.

“Emm, biasalah. Kalau jammed, orang akan masuk Felda ini untuk ke Kuala Lipis dan Raub. Tapi jalannya susah sikit. Nanti masuk Kg Chegar Perah dan akan lalu jalan tanah merah, berbatu-batu, masuk estet kelapa sawit, lalu jambatan sempit, akan jumpa jalan bawah landasan keretapi dan akan lalu tepi kubur. Jalannya bahaya ye. Hati-hati sangat. Kemudian akan tembus ke Kg Bukit Betong kira-kira dalam 20 km dari sini”. 

Saya senyum kelat. Saya membayangkan keadaan jalan tu. Jam sudah pukul 1800 petang. Meter minyak kereta sudah kurang dari paras separuh penuh. Dalam kawasan tu, tiada stesen minyak. Kawasan FELDA nampak teratur. Rumah pun cantik. Tapi, bila saya masuk kawasan Kg Chegar Perah, semuanya berubah.

Saya mula lalu di jalan tanah merah. Ada dua, tiga buah kereta membontoti kereta saya. Ada tiga orang budak menaiki sebuah motosikal ajak kami ikut laluan tu. Saya pelik. Betul ke jalan ini? Saya terus jalan sampai masuk ke kawasan jalan yang masih tidak berturap. Berbatu-batu kasar. Ini macam aktiviti 4 wheels. Rupanya banyak kereta sudah masuk ikut jalan tersebut. Kami lalu di jambatan kayu sempit yang berlubang dan hampir reput. Air sungai deras. Mungkin tak dalam tapi menakutkan. Masuk kawasan ber-tar tapi banyak lopak. Hanya beberapa buah rumah kayu yang kelihatan. Kalau kereta bertembung memang susah nak jalan sehingga terpaksa berhenti selama 20 minit. Masa tu kami solat dalam kereta. Terpaksa sebab jam sudah pukul 1830.       

Saya terfikir macam manalah orang yang tinggal dalam kampung ini. Jalan yang sempit. Hanya pokok-pokok buluh dan hutan di kiri dan kanan jalan. Lampu jalan pun takde. Bagaimana kalau ada kes sakit tenat, pemudi-pemudi yang balik waktu malam, dan macam-macam kes lain. Mereka gigih hidup dalam kawasan tersebut. Macam mana agaknya salur paip air dan elektrik ke kampung tu. Saya harap sangat agar ADUN, Ahli Parlimen atau Menteri Besar Pahang ziarah dan bantulah mereka. Macam mana negara yang telah separuh abad merdeka tapi masih ada lagi rakyat yang tinggal di kawasan itu? Tak rasa berdosakah kalian?

Kami terus berjalan sampai lalu di kawasan perkuburan dan hutan. Hari sudah senja. Nasib baik Syifa’ tidur dan tidak meragam. Beberapa penduduk kampung di situ sungguh baik. Mereka sanggup berdiri di beberapa check points untuk menunjuk arah jalan supaya kami dan beberapa kereta lain tidak sesat dalam hutan. Sampai satu kawasan, kereta-kereta lain sudah tak bergerak. Ada beberapa orang sukarelawan turun dan membantu memudahkan urusan orang lain. Kereta berselisih di tempat yang terlalu sempit. Saya tabik kepada beberapa orang yang saya jangka bukan penduduk situ. Ada seorang dilihat sebagai ketua memberikan arahan. Saya sempat bertanyakan dia. Rupa-rupanya dia datang dari arah Jerantut dan mahu ke Kota Bharu. Dia juga terkandas dalam jammed teruk dan terpaksa masuk ikut dari Koyan dan tembus ke Kg Bukit Betong.

Akhirnya, pukul 2000 malam baru kami sampai ke Kg Bukit Betong. Sampai sekarang saya masih terbayang keadaan jalan di kawasan kampung tersebut. Sungguh tak sangka! Dari Bukit Betong saya dan beberapa buah kereta perlahan-lahan mencari jalan keluar untuk menuju ke Kuala Lipis. Satu pengajaran yang saya pegang iaitu sentiasa dalam kumpulan dan tidak berjalan berseorangan. Mereka yang lain pun sama. Walau ada kereta yang laju di depan, mereka akan berhenti dan tunggu beberapa kereta di belakang untuk jalan bersama. Indahnya hidup berkumpulan = berjama’ah.

Keluar dari Bukit Betong kami terus masuk ke simpang menuju Raub. Lalu di kawasan Kg Sg Ular hingga sampai di kawasan Felda Tersang dan Kg Tersang hinggalah ke stesen Petronas yang berdekatan dengan bandar Raub. Pelik, negeri yang kaya seperti Pahang gagal menyediakan lampu-lampu jalan sepanjang jalan Tersang ke Raub. Bukankah memberi kemaslahatan kepada rakyat satu perkara kebajikan dan akan diberi ganjaran disisi Allah? Kalau ada yang accident dan meninggal dunia, macam mana? Saya juga bersyukur sebab sempat sampai di Petronas walaupun meter minyak sudah mencecah penanda merah. Perut lapar.

Masuk highway Bentong ke Gombak, sekali lagi diuji. Jammed sepanjang jalan. Ya Allah beratnya ujian ini. Waktu sudah menjangkau pukul 2230 malam. Ini bermakna  kami sudah berada dalam kereta kira-kira 12 jam tanpa henti. Ada orang mungkin rasa gembira balik time cuti sekolah atau raya sebab meriah walaupun jalan sesak. Ada orang tak suka. Tapi, perasaan saya bercampur baur. Saya suka balik Kelantan tapi tak suka habiskan masa terlalu lama di jalan raya hingga 12 jam. Kalau 6 jam is reasonable tapi kalau lebih daripada itu, saya sungguh bosan.

Inilah yang dikatakan orang, kalau banyak duit, belilah masa. Kita boleh ke Kelantan dalam masa 45 minit dengan menaiki belon besi. Sebenarnya, kalau kerajaan prihatin dengan nasib rakyat, berilah kemudahan dan infrastruktur jalan yang terbaik kepada rakyat. Contohnya macam ini. Bayangkan kalau jalan dari Kuala Lumpur ke Kelantan macam highway PLUS dari Kuala Lumpur ke Kedah. Dalam masa lima jam boleh sampai. Lebih baik lagi kalau tiada tol. Bukankah itu boleh meningkatkan aktiviti ekonomi dan dalam masa yang sama rakyat tidak terbeban dengan kos perjalanan. Kalau seorang peniaga yang terpaksa mengambil produk dari Kelantan untuk dipasarkan di Kuala Lumpur, dia akan mengira kos perjalanan untuk dimasukkan dalam harga produk.

Contohnya, Peniaga A ambil kain pelikat dari Kelantan untuk dijual di Kuala Lumpur. Sehelai kain pelikat ditolak dengan harga RM 10.00 oleh pembekal Kelantan kepada Peniaga A. Kemudian, Peniaga A menjual semula kain tersebut di Kuala Lumpur dengan harga RM 18.00 sehelai dengan mengambil kira harga patrol RON95 berjumlah RM 1.90 seliter dan jalan tanpa tol. Mungkin Peniaga A akan mengambil untung RM 3.50 dari sehelai kain.

Tapi, bagaimana kalau harga Petrol RON95 naik dan mencecah RM 2.10 seliter dan kerajaan mengenakan tol. Adakah harga jualan kain pelikat masih dengan harga RM 18.00? Atau ia akan jadi lebih murah?

Alhamdulillah, kami sampai di rumah pada pukul 0045 pagi. Semuanya selamat.

Alhamdulillah, kami tak menaiki bas.

Alhamdulillah, kondisi kereta baik dan tidak meragam.

Alhamdulillah, kami sempat sampai sebelum Subuh.

Alhamdulillah, Allah berikan secebis pengalaman ini untuk saya melihat sendiri keperitan rakyat di dalam sebuah negara kaya, Malaysia. Saya pasti akan usahakan sesuatu untuk manfaat dan kebaikan rakyat Malaysia!

Doakan saya!

 

 

Posted on June 6, 2011, in Santai. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: