Bergegas Ke Pejabat, Bergegas Ke Masjid

Sekali sekala membedah kota yang tidak pernah diam, Kuala Lumpur dengan menggunakan pengangkutan awam memang memenatkan fikiran. Ragam manusia, karenah sistem dan kerapan monolog memberatkan lagi kapasiti otak di awal pagi hari.

Beberapa minggu lalu terpaksa ke KL Sentral untuk memenuhi proses urusan kehidupan. Pukul 0730 pagi bertolak dari Ampang ke stesen aliran transit ringan (Putra) Damai. Jalan Datuk Keramat menuju ke Jalan Gurney dan Jalan Tun Razak merupakan nadi bagi penduduk sekitar Setiawangsa, Wangsa Maju dan AU Keramat. Beribu kenderaan berpacu.

Lokasi Pasar Datuk Keramat sering dijengah kaum wanita untuk membeli barangan dapur. Meskipun Pasar Datuk Keramat moden telah disiapkan kira-kira 100 meter dari premis asal, namun kemeriahannya tak dapat ditandingi di pasar lama. Walau becak, sempit dan bising, tapi itulah the real picture of market.

Gerabak menuju ke stesen Gombak agak lengang. Berbeza dengan gerabak ke arah Kuala Lumpur. Padat. Sesak. Semua berasak ke destinasi masing-masing. Wajah tipikal yang menaiki gerabak biasanya orang Melayu dan Cina. Saya anggap mudah semuanya ingin bergegas ke tempat kerja.

Kemeja long sleeve menjadi pilihan orang lelaki untuk ke tempat kerja. Coraknya mudah. Vertikal dan berwarna sepadan. Jika ikutkan trend, gaya Navi lebih menarik. Jika kaum wanita bekerjaya kelihatan varian. Baju kurung bertudung, tanpa tudung, kemeja, blouse, long pants, skirt labuh dan pendek adalah melambangkan penampilan kerjaya. Ini ragam orang bekerja.

Sepanjang gerabak meluncur ke KL Sentral, saya dapati beberapa tempat menjadi lokasi tumpuan. Ampang Points, KLCC, Jalan Sultan Ismail, Masjid Jamek dan Pasar Seni. Kawasan sekitar tempat-tempat tersebut memang merupakan kawasan pejabat dan mempunyai aksesibiliti yang mudah ke kawasan lain. Bagus akal orang yang merancang konsep dan kejuruteraan sistem pengangkutan ini. Lebih takjub dan ta’zim lagi kepada Allah Yang Maha Kuasa. Tiada yang dapat menandingiNya. Dialah yang memberikan ilham kepada hambaNya.

Sikap dominan yang saya amati dikalangan warga kerja ialah cepat (gegas ke tempat kerja), individualistik (tidak bertegur sapa) dan fokus. Masing-masing membawa haluan sendiri. Apa yang menyebabkan mereka atau kita jadi begitu? Saya berpendapat adalah kerana waktu kerja yang tetap samada clock in pukul 0800, 0830 dan 0900 pagi. Kedua, hal appointment dengan klien. Ketiga, mesyuarat di tempat kerja dan keempat lebih menyeluruh lagi ialah peraturan dan permintaan yang telah ditetapkan oleh majikan kepada semua pekerja supaya teguh dengan disiplin dan amanah terhadap tugas di pejabat.

Adakah wujud konsep bekerja menurut pandangan Islam?

Suka saya tampilkan sepotong ayat Al-Qur’an sebagai motivasi kita bersama.

Allah SWT berfirman, “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu untuk digunakan, maka berjalanlah diseluruh pelusuk dunia, makanlah dari rezeki kurniaan Allah, dan kepada-Nya jualah kamu akan dikembalikan(Surah Al-Mulk : 15).

Begitu juga hadith yang baik untuk direnungi, “Tidak ada makanan yang lebih baik bagi seseorang itu, melainkan daripada apa yang dimakan daripada usaha dirinya sendiri”.

Bekerja merupakan satu tuntutan dalam Islam kerana ia memberikan kebaikan kepada individu dan masyarakat disamping mencari nafkah untuk keluarga. Bukankah sikap meminta-minta dari orang lain itu merendahkan martabat manusia?

Oleh hal yang demikian, tidak salah mereka yang bergegas-gegas ke pejabat seawal matahari mencuit kaki Timur untuk mencari sesuap nasi bagi diri dan menyara keluarga.

Cumanya yang menjadi concern saya ialah sikap kita yang kurang bergegas ke surau mahupun masjid untuk menunaikan solat. Azan Subuh masih menikus dalam selimut tebal. Azan Zohor dan Asar tidak terpanggil dek sibuk dengan urusan pejabat. Azan Maghrib dan Isya’ dijawab keluh dengan kepenatan. Jadi, bilakah kita mahu bergegas ke surau atau masjid untuk menunaikan solat secara berjama’ah?  

Solat berjama’ah tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Ia juga mengukuh tahap keimanan kita dan mencegah diri daripada menjadi ikutan sikap para munafik. Asasnya begini, solat merupakan perkara atau amalan awal yang akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya perkara pertama yang dikira dari amalan hamba di akhirat nanti ialah solat, sekiranya solat itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia….(Hadith Riwayat At-Tirmidzi).

Maka, amalan yang paling penting ialah solat. Solat lebih penting daripada bekerja. Ia lebih penting daripada yang penting. Jangan kita mengejar kerjaya tapi tidak solat. Jangan kita ingin mencari rezeki halal dan baik tapi kita tidak solat. Apakah maknanya hidup ini?

Kemudian, amalan solat berjama’ah adalah amalan yang paling dititikberatkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda bersabda, “Solat berjama’ah adalah lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat”.

Pernah seorang buta meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk tidak menunaikan solat berjama’ah di masjid. Rasulullah SAW menjawab dengan penuh hikmah. Sekiranya orang buta itu mendengar azan yang dilaungkan daripada masjid, maka penuhilah tuntutan azan itu. Tambahan pula, dalam satu riwayat hadith menegaskan bahawa Rasulullah SAW memberi amaran kepada sahabat baginda supaya tidak meninggalkan solat berjama’ah melainkan dalam keadaan uzur.

Adakah kita merasa tuntutan mengerjakan solat secara berjama’ah di surau atau di masjid adalah penting? Kita setuju bahawa kita bergegas ke pejabat disebabkan masa untuk punch card mestilah tidak lebih pukul 0800. Kita takut jika kita punch selepas pukul 0800, maka kita akan dapat tanda merah sebagai amaran dan ia boleh menjejaskan peluang kenaikan pangkat dan reputasi.

Tetapi, adakah kita tidak merasakan sesuatu sekiranya kita mengabaikan solat berjema’ah di surau atau masjid kita akan disoal dihadapan Allah nanti dan mungkin akan mendapat balasan buruk? Jika hati kita kering, beristighfarlah. Bertaubatlah. Masa masih ada.

Jangan kita mengamalkan budaya selektif. Mulai pada hari ini, kita mesti sanggup bergegas ke masjid untuk menunaikan solat berjama’ah sepertimana kita berpagi-pagian bergegas ke pejabat untuk mencari rezeki sebelum waktu bekerja bermula. Utamakan sifat takutkan Allah, kemudian hormati dan peliharalah amanah kerja kita semua. InsyaAllah.     

Posted on June 3, 2011, in Artikel, Umum. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: