Dulu Masalah Sosial, Kini Bencana Sosial

Benarlah firman Allah SWT,

Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu (Nabi Adam), dan daripadanya diciptakan pasangannya, dan daripadanya dikembangkan lelak dan perempuan yang banyak ” (Surah An-Nisa’ : 1)

Bapa Kemasyarakatan Islam, Ibnu Khaldun telah mencatatkan ratusan tahun dahulu mengenai peri pentingnya hakikat kehidupan bersosial. Kitabnya yang masyhur, Al-Muqaddimah telah menjadi rujukan penting bagi ahli sosiologis Islam mahupun bukan Islam untuk merajah satu sistem sosial yang lengkap dari aspek dasar dan konsep untuk diimplementasikan dalam segenap ruang masyarakat. 

Hari ini bila kita merungkaikan maudhu’ sosial di Malaysia, salah satu daripada perbincangan pentingnya adalah berkisar mengenai masalah sosial. Dulu, kita boleh bersetuju ia hanya satu masalah. Tapi hari ini ia telah menjadi bencana. Satu epidemik yang amat membimbangkan. Asap kebakaran yang kecil akan menjadi masalah kepada penduduk setempat. Tapi, jika ia kebakaran yang besar ia telah menjadi bencana kepada manusia seluasnya.Dalam satu kajian yang dibuat sekitar tahun 2006, sebanyak 24 jenis masalah sosial yang dilakukan oleh penghuni lelaki dan perempuan di pusat pemulihan akhlak seluruh negara telah disenaraikan. Antaranya, menonton dan membaca bahan lucah, zina, rogol, buang anak, bunuh, mencuri, samun, minum arak, hisap dadah, merokok dan sebagainya. Apa yang penting, kita perlu sedar bahawa penghuni pusat pemulihan akhlak tersebut merupakan pucuk-pucuk muda generasi negara.

Berikut adalah beberapa pendedahan laporan statistik yang diperolehi

Pertama; Seramai 17,303 anak luar nikah telah didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Negara berbanding 16,100 kes pada tahun 2007.  Dalam  tempoh 5 tahun terakhir, seramai 74,723 anak luar nikah membabitkan orang Melayu Islam.  

Sumber  : Jabatan Pendaftaran Negara, Berita Minggu 21 Mac 2010

Kedua; Kes rogol telah meningkat sehingga 4,959 kes pada tahun 2008 berbanding 1,696 pada tahun 2004.                                            

Sumber : Polis Di-Raja Malaysia

Ketiga; Sebanyak 517 bayi yang baru dilahirkan dibuang sejak 2005 hingga Januari 2011.

 Sumber  : Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman

Keempat; Bilangan penagih dadah yang dikesan pada tahun 2005 ialah seramai 32,808. Daripada jumlah itu, seramai 23,699 orang atau 72.23 peratus adalah golongan belia yang berusia 16 hingga 39 tahun. Kaum Melayu mencatatkan bilangan penagih teramai iaitu seramai 22,344 orang.

Sumber  : Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM)

Kelima; Kes bunuh yang dilaporkan pada tahun 2007 meningkat kepada 588 kes berbanding 497 kes pada tahun 2005.

Sumber  :  Polis Di-Raja Malaysia

Unit asas bagi sebuah institusi sosial yang kompleks adalah keluarga. Tidak mustahil, taraf kemajuan dan kemunduran sesebuah negara bergantung kepada institusi kekeluargaan. Justeru, Islam lebih awal menggariskan kepentingan memelihara keutuhan dan kestabilan keluarga. Dalam menghuraikan hal ehwal berkaitan keluarga, disarankan untuk membaca dan menghayati buku yang dikarang oleh Syeikh Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan, Tarbiyatul Awlad fil Islam (Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam). Buku tersebut membahaskan secara tuntas erti perkahwinan, kelahiran dan pendidikan kepada anak-anak berdasarkan kepada prioriti dan kepentingannya.

Institusi penting ini semakan genting apabila ia berdepan dengan perkembangan modenisasi dan perubahan sosial. Antara perkara yang menggugat institusi keluarga adalah proses migrasi ke bandar, tekanan kos sara hidup isi rumah dan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab asasi seorang isteri dan ibu kepada anak-anak. Akibatnya, hubungan keluarga kian longgar dan menyebabkan timbul beberapa kesan gandaan negatif yang lain.

Lebih mengejutkan, unit asas sosial ini juga turut dilanda kebimbangan apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendedahkan jumlah penceraian yang didaftarkan dari tahun 2005 hingga 2008 telah mencecah sebanyak 80,564 kes diseluruh negara. Malangnya, ia menunjukkan peningkatan saban tahun. Data kes penceraian yang berlaku itu melibatkan individu yang berumur 31-35 tahun dan mereka baru melayari bahtera rumah tangga kurang daripada 10 tahun.

Nah, apakah yang diharapkan lagi kepada agen-agen sosialisasi yang lain seperti institusi pendidikan, persekitaran, media, dan rakan sebaya? Perkara ini telah diperhalusi oleh Syeikh Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam fasal ketiga (Cabaran Keruntuhan Akhlak) menerusi bukunya As-Syabab Al-Muslim fi Muwajahah At-Tahdiyyat (Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi).

Sukar untuk membayangkan bagaimana situasi masyarakat pada hari ini khususnya generasi muda dalam menyelami kehidupan menjelang negara maju 2020 kelak. Sakit mendekam rasa seandainya kemajuan itu menjadi sebab kemunduran syakhsiyah masyarakat ketika itu. Sikap individualistik, jauh daripada sentuhan agama, kebuntuan pembudayaan ilmu dan budaya keselesaan merupakan gejala-gejala yang menyumbang ke arah kemerosotan tersebut. Menyentuh mengenai korelasi antara masalah sosial dan nilai, disarankan untuk menela’ah satu kajian bertajuk Values and Their Relationship to Social Problems in Malaysia : An Islamic Framework. Kajian yang dilakukan oleh beberapa tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini cukup menarik kerana mereka mengekstrakkan beberapa perbahasannya daripada teori Al-Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dan J.Rokeach.

Ironisnya, tatkala kita terpesona membincangkan mengenai beberapa intipati dasar negara seperti Plan Transformasi Kerajaan, Plan Transformasi Ekonomi dan Plan Transformasi Politik, kenapa kita tidak merangka satu dasar mengenai sosial yang boleh dinamakan sebagai Plan Transformasi Sosial? Bukankah masalah sosial ini sudah menjadi satu bencana yang amat menakutkan? Atau adakah dalam keadaan tidak sedar kita sedang merancang ke arah kemusnahan itu?

Tahun 2010, terdapat beberapa cadangan solusi daripada pelbagai pihak untuk menangani beberapa isu bencana sosial yang digemparkan secara bermusim. Contohnya isu pembuangan bayi. Antara solusi yang telah dilakukan ialah Kempen Kami Prihatin, pengenalan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Pendidikan Seksual), Kempen Taysir Zawaj (Memudahkan Pernikahan), Kempen Jauhi Zina, Sidang Meja Bulat Mengatasi Masalah Sosial, cadangan hukuman bunuh kepada pesalah dan tawaran pelaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia yang difikirkan sebagai masa yang terbaik untuk dijadikan penawar bagi membanteras bencana ini. Namun, tidak ada satu plan komprehensif dan konstruktif digubal untuk terus memperkasakan komitmen ini.

Walaubagaimanapun, bencana sosial menjadi maudhu’ penting kepada golongan pendakwah. Samada ia digerakkan secara individu mahupun kolektif. Ia mestilah dianggap sebagai satu iltizam yang baik. Mujaddid Islam abad ini, Imam Hasan Al-Banna mengatakan bahawa usaha jihad itu berterusan hingga ke akhir zaman. Dari sekecil-kecil jihad melawan hawa nafsu hinggalah sebesar-besar jihad di medan peperangan dan antara keduanya itu juga dianggap jihad samada menerusi tulisan mahupun lisan. Ayuh, perkasakan jihad menangani bencana sosial dan selamatkanlah rakyat Malaysia!          

 

 

 

 

 

 

Posted on June 7, 2011, in Artikel. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: